MUKADIMAH
Kali terakhir saya ke Mekah dan Madinah ialah ketika mengerjakan ibadah haji pada bulan April tahun 2000 bersama-sama suami. Jarak masa 9 tahun tentunya telah banyak perubahan dan perbezaan yang berlaku di Masjidil Haram & Nabawi, termasuk juga keadaan kami yang dulu masih muda, tentu berbeza dari segi tenaga dan sebagainya.
Sila click Read More untuk lanjutan........
Ada beberapa sebab kenapa saya catatkan pengalaman perjalanan ini:
1) Agar dapat dijadikan tauladan, muhasabah diri, yang mudah-mudahan mendekatkan diri lebih lagi kepada Allah.
Sungguh pun begitu saya sangat-sangat menginsafi kerana ada kalanya saya terpaksa menceritakan pengalaman-pengalaman yang saya takut disalah tafsirkan seperti menunjuk-nunjuk, syok sendiri (ujub), atau riyak. Sebagai manusia biasa saya juga tidak lari dari perasaan seronok apabila mendapat nikmat Allah. Keseronokan yang saya rasakan walau pun kadangkala pada akal manusia tidak seronok (seperti disenggol oleh orang-orang Arab), memang akhirnya timbul perasaan menyeronokkan.
Tapi tak semua begitu, ada yang memang tidak mendatangkan keseronokan (walau dicuba), atas peristiwa yang memang tak seronok, seperti peristiwa terhimpit telekong remaja di cafe, berpunca dari saya.
Jadi dari peristiwa itu, cubalah seboleh-bolehnya berdoa dijauhkan kesilapan bermula dari diri sendiri, tapi kalau dari orang lain cubalah jadikan ianya ujian yang menyeronokkan, yang mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa, menghilangkan sifat-sifat mazmudah diganti dengan sifat-sifat mahmudah.
2) Mudah-mudahan menjadi harta peninggalan berguna kepada anak cucu, keturunan dan keluarga terutamanya.
3) Kebetulan saya yang memang suka menulis dan membaca sejak muda, maka sedikit sebanyak mendatangkan kepuasan yang diredhai Allah, insyaAllah.
MAKA KEMBARA KAMI PUN BERMULA....
7 April 2009 (Selasa):
1) Saya dan suami tiba di KLIA jam 9.00 malam sebagaimana yang dimaklumkan oleh Agensi yang menguruskan perjalanan ini Rombongan kami bertolak dari KLIA ke Cairo, Mesir menaiki pesawat Egypt Air pada kira-kira jam 12.30 malam.
Tempat duduk dalam kapalterbang agak terpisah dari suami. Banyak juga pasangan/keluarga yang terpisah tempat duduk. Kami dimaklumkan supaya duduk dahulu ditempat yang telah ditentukan. Selepas semua penumpang naik boleh buat penyusunan tempat duduk semula. Alhamdulillah penumpang pun tidak ramai, banyak kerusi yang kosong, maka mudah diuruskan.
Berhenti di Mumbai kira-kira 1 jam (tidak keluar dari kapalterbang pun). Setelah perjalanan kira-kira 12 jam, kami tiba di Cairo (Kaherah) kira-kira jam 7.55 pagi (waktu tempatan). Solat Subuh dalam kapal terbang, sambil duduk . Wuduk menggunakan air paling minima, yang wajib sahaja.
2) Pakej kami seramai 15 orang sahaja termasuk Mufti R (Dato Z), manakala pembimbing adalah Ustaz S yang saya rasa umurnya kira2 awal 70an.
Mulai dari KLIA dan di Mesir, kumpulan kami bergabung dengan kumpulan dari syarikat lain (juga dari Malaysia) seramai 35 orang
8 April 2009 (Rabu):
1) Sebaik keluar lapangan terbang Cairo, suami telah menyerah kiriman barang (1 bag kira-kira 8 kilo yang mengandungi bahan makanan) kepada anak Hj Bakar (jiran setaman) yang sedang menunggu (masih belajar di Universiti Al-Azhar). Tiba di Hotel Eropa Kaherah kira2 8.00 pagi dan terus sarapan. Selepas itu masuk bilik masing2 berehat (Bilek saya no 503 – nampaknya ok)
(Catatan: Di hotel-hotel Mesir dan juga Mekah/Madinah, untuk charge telefon bimbit perlu guna ‘2 pin plug’. Jadi kena bawa adapter yang sesuai)
Ust S memberitahu jam 12.30 tengahari semua mesti berada dalam bas untuk lawatan ke Bandar Fayyum
di selatan Mesir kira-kira 150 km dari bandar Kaherah.
Walaubagaimana pun kami bertolak agak lewat sebab terdapat peserta yang lewat. Kami diperkenalkan dengan Ustaz Zahari pemandu kami sepanjang di Mesir. Beliau telah menetap di Mesir kira2 15 tahun.
Ustaz S telah menegur tentang pentingnya menepati masa, kerana akan menjejaskan program yang telah diatur.
2) Bumi Mesir bercuaca panas dan kering (menyebabkan badan tidak berpeluh dan tidak berbau) kiri kanan sepanjang perjalanan tiada pokok-pokok, tetapi masuk sahaja ke daerah Fayyum, baru kelihatan pokok-pokok menghijau, kerana di sinilah merupakan kawasan utama pertanian di Mesir. Perjalanan mengambil masa kira-kira 1½ jam .
Sepanjang perjalanan bermula dari sempadan Fayyum kami diiringi kereta polis peronda.
Kami dimaklumkan bahawa para pelancung merupakan aset penting bagi Mesir. Ini adalah ekoran kejadian yang berlaku sebelum ini iaitu tragedi bas pelancung ditembak menyebabkan pelancung-pelancung tidak berani lagi datang ke Mesir. Oleh yang demikian bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang, para pelancung dilayan seperti VIP. (Lebih2 lagi kalau diberi tips dan upah ketika di hotel, terutamanya )
Lelaki belakang tu sdg solat |
3) Dalam perjalanan balik kami singgah di Tasik Qarun, sangat luas dan ombaknya agak kasar memukul pantai berhampiran jalan. Menurut Datuk Z, masa dia menziarahi tasik tersebut kira2 15-20 tahun lalu tasiknya tidak berapa luas, dan ombaknya tak berapa kuat sebagaimana sekarang.
Banyak restoran-restoran & tempat santai-santai dibina berhampiran tasik, dan menurut Ust Zahari, hiburan termasuk tarian gelek mesti ada di tempat-tempat tersebut. Katanya, pemerintahan kerajaan Mesir adalah lebih liberal dan bebas. Tanggung sendiri-sendiri sama ada yang nak beriman dan patuh perintah Allah atau sebaliknya. (Kalau di Malaysia, macam tempat-tempat karoeke le gitu..)
4) Tiba bandar Kaherah kira-kira 6.30 petang, sesaknya jalan, tapi pemandu bas handal betul, mencelah-celah, hon sana sini, akhirnya kami sampai hotel dalam keadaan pening.
9 April 2009 (Khamis):
1) Selepas sarapan pagi, kami dibawa melawat pyramid/sphinx didaerah Gazza, yang merupakan tarikan pelancung utama ke Mesir. Hinggakan kata Ustaz Zahari orang-orang Mesir mengkagumi Firaun kerana peninggalannya mendatangkan duit pada bumi Mesir. Bayangkan nak masuk kawasan luar piramid yang berpagar sahaja kena 60 pound seorang (duit Mesir lebihkurang RM40). Kalau nak masuk dalam piramid kena bayar lagi 100 pound. Saya dan suami hanya sekadar melihat dari luar sahaja. Pyramid terbesar dan tertua (Khufu’s Pyramid) berketinggian 150m (lebihkurang 50 tingkat bangunan) yang mengambil masa selama 20 tahun untuk dibina pada tahun 2500 sebelum masehi.
(Kami melawatnya kerana perintah Allah menyuruh mengembara dan memerhati tinggalan mereka yang zalim - memaksa rakyat bina pyramid/sphinx sebagai lambang kekuasaan mereka, seterusnya mengambil ikhtibar dan pengajaran).
2) Seterusnya melawat beberapa tempat mengikut program termasuk Masjid Imam Shafiee (di mana terletak makam Imam Shafiee) di hujung bandar Kaherah yang kebanyakan penduduknya miskin, meminta sedekah dan upah, dari pelawat-pelawat. Anjing-anjing berkeliaran di kawasan masjid tersebut. Kami sempat juga mengunjungi Bazar Khan Khalili (menjadi salah satu tempat tumpuan pelancong) berhampiran dengan Masjid Saidina Hussin dan Universiti Al-Azhar, yang banyak menjual barang pakaian, perhiasan, minyak wangi, batu batan(?) dan entah apa-apa lagi.
3) Dalam perjalanan balik ke hotel, singgah di tepi Sungai Nil. Banyak bot-bot dihiasi lampu berwarna warni yang akan membawa pelancung mundar mandir di perairan Sungai Nile. Kami tidak masuk bot berkenaan, hanya meninjau dari tepi.
Dalam sesetengah bot kami lihat ada tarian gelek....oleh dua minah bertudung. Agaknya tarian gelek ni telah menjadi budaya dan adat mereka. Kalau di Malaysia ni mungkin le seperti joget lambak, mak yong dan sebagainya. Pada pandangan saya, adat dan budaya boleh diikut selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Di Malaysia kalau nak tengok dang-dut pi le konsert sureheboh dan seumpamanya. Live tv lagi.
10 April 2009 (Jumaat);
1) Hari ini rombongan kami akan melawat Iskandariah. Selepas sarapan bertolak ke Iskandariah (Alexander) kira2 450km dari Kaherah. Perjalanan lancar, highway 4, 3, 2 laluan sehala. Bandar di persisiran pantai Laut Mediterranean yang sangat panjang. Tempat pertama yang dilawati ialah Istana peninggalan Raja Farouk.
Raja Farouk memerintah pada usia muda semasa berumur 16 tahun apabila bapanya meninggal dunia. Pemerintahan beliau tidak disukai oleh rakyat disebabkan sikapnya yang suka berpoya-poya dan juga korupsi menyebabkan beliau digulingkan pada tahun 1952. Beliau meninggal dunia pada tahun 1965 didalam buangan di Italy.
Semasa melawat Istana Farouk di atas jambatan yang menghubungkan istana dengan taman, sempat berposing dengan anak dara Mesir. Kebanyakan yang muda-muda pakai tudung berfesyen, lilit2 letak pin atas kepala, tapi pakaian memang ketat (orang2 Malaysia tiru depa le ni). Selain yang berpurdah, dan tudung labuh.
Seterusnya kami melawat Makam Nabi Daniel/Lukman Al-Hakim dll.
1) Jam 8.00 pagi bertolak ke kilang kristal yang menjadi salah satu lagi tarikan pelancung (dikatakan harganya 2,3 kali ganda murah dari di Malaysia). Memang terpesona melihat barang2 perhiasan, saya cuma beli brooch saja, untuk kegunaan, jangan tak beli.
Dikatakan pemilik asal kilang kristal tu keturunan Palestin, dari kilang kecil yg dibuka sekitar tahun 60an, sekarang ni kilangnya mempunyai pekerja lebih kurang 20,000 orang. Beliau telah meninggal di Mekah, malam 27 Ramadhan, dikatakan sangat pemurah, banyak menderma.
2) Makan tengahari di Malaysia Hall, selepas tu akan bertolak ke lapangan terbang untuk ke Madinah.
Semasa di meja makan, saya bertanya Ust S di mana nak solat nanti sebab mengikut angggaran saya, lebih afdal solat zohor & asar jamak takdim di lapangan terbang Cairo (sebab waktu zohor 12 tengahari, flight 3.30 ptg), kalau buat zohor jamak takhir di Madinah, takut tergesa-gesa sebab tiba Madinah dijangka 5.30 ptg, begitu begini baru selesai mungkin dah terlewat.
Tujuan saya bertanya supaya dapatlah nanti dihebahkan kepada semua rakan se rombongan. (Maklum le dah biasa berjemaah, terbawa-bawa ..)
Tapi Ust S beritahu solat di lapangan terbang Madinah, saya nak beri cadangan yang lebih baik dan logik, tapi suami melarang. Saya akur walau mengerutu juga hati.
3) Di lapangan terbang Cairo, urusannya sangat menguji kesabaran, sekejap di suruh ke sana, sekejap ke sini..Saya masih risau tentang solat. Dalam menunggu-nunggu tu yang memakan masa agak panjang, saya terpandang Ust S dan beberapa orang lelaki sedang solat (termasuk Dato Z) di penjuru lapangan terbang.....Sedih dan geram pun ada kerana tadi bila saya tanya, katanya solat di Madinah, tiba-tiba dia solat sendiri-sendiri tak maklumkan pula pada kami.
Saya berpendapat mereka mementingkan diri sendiri. Saya suruh suami solat dulu, sementara saya jaga barang-barang, kemudian saya ajak rakan perempuan yang lain solat, manakala yang uzur menunggu barang-barang.
4) Alhamdulillah akhirnya kami selesai menunaikan solat di lapangan terbang Cairo. Hai Datuk Mufti!! kenapa lah tak beri cadangan dan maklumkan! Kalau Datuk bercakap orang akan terima dan ikut, kalau saya yang bercakap dan beri cadangan orang kata memandai-mandai & menunjuk-nunjuk pula! (Astagfirullah!!)
5) Akhirnya lebih kurang 5.30 ptg tiba di lapngan terbang Madinah. Kumpulan kami berpisah dengan kumpulan satu lagi, mereka disambut wakil mereka di Madinah.....Kami?
6) Wakil yang sepatutnya jemput kami di lapangan terbang Madinah tak datang. Banyaklah teksi sapu, dan ntah siapa-siapa yang menawar diri nak bawa ke hotel.
Ada yang minta pasport, kami ni beri le..ingatkan wakil yang betul....Mereka ni semuanya berjubah dan berserban, kalau di Malaysia..confirm mereka ni insyaAllah baik-baik..(ye ke?), tak keterlaluan kalau dikatakan mereka ni mungkin agen-agen pelancong tak bertauliah yang mengambil kesempatan ke atas mereka yang datang untuk ibadat (umrah). Kebanyakan mereka ni merokok pula. (so berhati-hati la, terutama yang minta pasport, takut-takut lesap nanti).
Wakil dan bas yang ditunggu tak datang, akhirnya kami naik 4 teksi ke hotel ikut arahan Ustaz S. Mula-mula tertuju salah hotel, pergi ke hotel no 2 pula. Sedang kami keluarkan barang-barang dari teksi, terdengar azan maghrib dari Masjid Nabawi..Terlonjak-lonjak hati nak ke sana..tapi mengenangkan nak menjaga barang-barang tersadai di lobi, saya kata tak apalah berkorban, sedangkan Datuk Mufti & kaum lelaki (termasuk suami) dah berlari ke masjid.
Tak pe le, patuhlah ketua yang menyarankan agar kami solat di hotel dulu (termasuk dia).
Tiba-tiba Kak Yah (salah seorang jemaah) ajak saya solat di Masjid Nabawi, saya pun bagai pucuk dicinta ulam mendatang, tak sempat fikir apa-apa, kami pun bergegas ke Masjid Nabawi, setelah meminta teman yang uzur jaga barang-barang.
Terserempak dengan mereka yang telah selesai solat.. tak pe..kami akan solat juga dalam masjid berkenaan, akhirnya kami solat berdua (berjemaah)..
7) Nak balik atau nak tunggu Isyak? Sebab Ust S berpesan agar semua berada di lobi hotel lepas maghrib kerana akan berpindah ke hotel no 3 pula.
Saya dan Kak Yah berbincang samada nak balik selepas solat maghrib atau tunggu lepas Isyak. Setelah berbincang, kami ambil keputusan tunggu solat Isyak, walau agak risau kerana melanggar perintah ketua. Tapi suami ada mewakili saya (sebab dia balik semula ke hotel selepas maghrib), lega sikit le.
Tiba-tiba dapat sms dari suami, mereka nak bergerak ke hotel no 3, dan ada yg marah-marah sebab kami tak ada.. Saya tahu yang kami dah tak patuh ketua. Suami kan ada, tak kan tak bole cover? Walau bagaimana pun kami buat keputusan untuk balik. Belum keluar masjid, azan Isyak pun berbunyi.. maka kami buat keputusan solat dulu lah!
Selepas solat, saya beritahu kak Yah , oleh kerana kita dah langgar perintah ketua dan membuat orang lain tertunggu-tunggu, jadi bila kena tegur, marah atau sindir nanti, kita diam saja dan mohon maaf, buat muka manis....walau pun (pada pendapat saya), Ustaz S selaku ketua rombongan pun patut dipersalahkan kerana masaalah kelewatan yang bermula di lapangan terbang tadi .
Kabarnya wakil Madinah tak datang sebab tak diberitahu awal akan ketibaan kami. Semua manusia tak sempurna termasuk la kita. Ini semua ujian.
Tiba di hotel no 2, saya lihat muka Ust S macam masam dan agak marah.
Dia dan Suami menunggu kami, manakala ahli rombongan lain dah bergerak dulu. Hotel kami di Madinah ialah Hotel Mawaddah International. Agak jauh dari Masjid Nabawi (lebihkurang 400m dari Masjid Nabawi), berbanding kumpulan yang sama masa kat Mesir dulu, hotel mereka sangat dekat dgn masjid. (Sepatutnya kami pun menginap di situ – Allah lebih mengetahui)
Peringkat awal, untuk makan pun kami terpaksa berjalan menumpang di hotel mereka, kerana di hotel kami belum ada katerer masakan Melayu. (Setelah dua hari barulah makan di hotel sendiri).
Biasanya saya dan suami akan pergi bersama-sama ke masjid, tapi bila balik kami sendiri-sendiri. Kami berhubung melalui sms (mode silent).
Tempat makan dicafe hotel terhad, mana2 kerusi kosong akan dipenuhi tak kira bercampur lelaki atau perempuan. Satu masa kerusi sebelah saya kosong, Suami belum tiba dari masjid, seorang lelaki duduk sebelah saya. Badannya agak berisi, jadi saya gerakkan kerusi ke kiri rapat dengan kerusi seorang remaja perempuan.
Saya berpendapat, kalau bersentuhan perempuan sesama perempuan lagi bagus, dapat pahala, tetapi remaja ni macam tak suka (mungkin tak faham kot, atau tak diajar?), dia menarik muka masam, katanya telekungnya tersepit sebab rapat kepadanya). Saya menjarakkan kerusi.
Walaupun agak tersinggung dengan sikapnya yang pada pendapat saya agak ‘kurang diajar’, tapi saya minta maaf. Dia tak pun senyum dan masih menarik muka masam. Ibunya yang di depan saya memandang seolah-olah menyokong tindakan anaknya, dan tak senyum pun walau pun saya senyum dan minta maaf. Dalam hati berkata-kata (ya Allah, fahamkah mereka bahwa kunjungan ini bukan semata-mata hubungan dengan Allah hingga tak ambil kisah hubungan sesama manusia)
Akhirnya saya cepat-cepat makan dan berlalu setelah ucapkan salam (yang tak dijawab), dan berdoa untuk mereka. Ampunkan kami ya Allah! Pengajaran untuk saya.
Kau lah yg Maha Mengetahui..
12 April 2009 (Ahad):
Selepas sarapan kami dibawa ziarah ke perkuburan Baqi, kemudian masuk masjid kira-kira jam 10.30 pagi. Waktu itu Raudah telah dibuka untuk wanita, maka berebut-rebutlah ke sana, terutama yang berbangsa Arab......rempuh merempuh akhirnya dengan pertolongan Allah dapat lah solat sunat hajat 2 rakaat sahaja. Selesai salam terus bangun beri peluang orang lain, (tentang doanya, sambil berjalan keluar tu berdoalah). (Solat tahiyatul masjid, dhuha kami buat dulu dalam ruang masjid, bukan di Raudah)
Saya bercadang nak iktikaf sehingga zohor, tapi perut rasa lapar..saya perlu alas perut, roti kosong tak pe le. jumpa jemaah Malaysia, sebut pasal lapar kepadanya, tiba2 ada jemaah Arab hulur jajan..Subhanaullah.. bole la tahan sampai zohor.
13 April 2009 (Isnin)
Hari ini sebagaimana rancangan adalah hari ziarah persekitaran Madinah. Selepas sarapan pagi dengan menaiki bas kami ketempat pertama lawatan iaitu Masjid Quba.
Masjid Quba adalah merupakan masjid pertama dan tertua yang dibina di madinah dimana batu asas pembinaan telah diletak oleh Rasullullah saw apabila baginda berhijrah ke Madinah. Pastikan sebelum berangkat menziarah masjid Quba berwuduk dahulu dan bila sampai terus solat sunat kerana ganjarannya amatlah besar sebagaimana diriwayatkan ”Whoever purifies himself (take wudhu') in his house then comes to Masjid Quba' and prays in it has the reward like that of Umrah. (an-Nasa'i and Ibn Majah)”
Memandangkan kesempitan masa yang ada (mesti kembali untuk solat zohor di Masjid Nabi) kami tidak berkesempatan untuk ziarah Masjid Qiblatain (masjid Dua Kiblat) tetapi sekadar melihat dari dalam bas semasa melalui masjid tersebut. Dinamakan dengan Masjid Qiblatain kerana turunnya ayat pindah qiblat yang bermaksud:(...Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram... surah Al Baqarah 144) ayat ini turun ketika Rasulullah(s.a.w) sedang solat Zohor di tempat ini iaitu di Bani Salimah. Maka ketika baginda solat yang pada mulanya menghadap Masjidil Aqsa berpaling mengadap ke Ka'bah(Masjidil Haram). Nak tahu mengapa… baca le kitab-kitab sirah nabi.
Perjalanan kami seterusnya ke Bukit Uhud dan Maqam Suhadak. Salah satu tempat yang menjadi medan peperangan iaitu peperangan Uhud dimana dalam perang Uhud tentera Islam pada mulanya telah memenangi pertempuran, tetapi keadaan berubah apabila kumpulan pemanah yang diarahkan supaya terus berada di atas bukit samada tentera menang atau kalah telah mengingkari arahan dan turun sama untuk mengutip ghanimah (harta) menyebabkan tentera musyrikin kembali dan menyerang mereka dari belakang. Keingkaran itu telah menyebabkan tentera Islam kalah dan mengalami kerugian besar, di mana ramai dikalangan sahabat besar telah gugur sahid. Nak tahu lebih lanjut... rajin-rajin le buka kitab sirah.
Destinasi kami seterusnya adalah melawat Ladang Kurma (sebenarnya hanya pergi ke Kedai didalam kawasan ladang dimana terdapat berbagai jenis kurma yang dijual. (pembantu kedai kebanyakannya orang Indonesia). Saya hanya lihat-lihat saja kerana Ust S beritahu boleh beli di pasar kurma (katanya ada kenalan beliau.... boleh dapat murah kot)
Dalam perjalanan ke pasar kurma kami dibawa melawat kilang Percitakan Al-Quran. Jemaah Lelaki dibenarkan masuk kawasan percitakan tetapi jemaah perempuan hanya dibenarkan masuk ’show room’ sahaja yang terdapat bebagai jenis Al-Quran. Jemaah diberi hadiah senaskah Al-Quran setiap orang (tak adil betul .. jemaah perempuan tak diberi.. ni dah diskriminasi.. tak de rezeki..)
Seterusnya kami dibawa kepasar kurma di bandar Madinah. Saya beli 1 kotak kira-kira 8 kilo kurma Nabi (najwa: RM50/kilo) dan beberapa jenis kekacang untuk oleh-oleh.
Setelah semua jemaah siap membeli buah tangan kami terus ke masjid Nabawi dan tiba sebelum masuk solat zohor. (DiMadinah dan juga Mekah terasa sangat-sangat le ruginya jika tak dapat solat berjemaah ..ganjaranya sangat besar... nak tahu.. lazimi lah kuliah-kuliah agama)
Selepas Solat isyak kami melakukan ziarah widak maqam rasul, kerana esok pagi kami akan bertolak ke Mekah. Kalau nak buat ziarah widak esok pagi takut tak sempat.
14/4/2009 (selasa)
Kami berangkat ke Mekah menaiki bas bertolak kira2 jam 8 pagi. Bas muatan 45 orang, tetapi hanya kami 17 orang sahaja (Tambah 2 orang suami isteri yang menumpang group kami - mereka pergi dengan MAS kerana suami staff MAS).
Sepanjang perjalanan di pagi yang segar, ambillah kesempatan melihat pemandangan sambil membayangkan inilah bumi yang Nabi saw lalui ketika peristiwa hijrah kira2 1430 tahun lalu.
Singgah di Masjid Bir Ali kira-kira 10km dari Madinah (miqat umrah) untuk solat sunat ihram & niat umrah. Mekah – Madinah kira2 450km mengambil masa kira2 5,6 jam. Berhenti di R&R di Asfan, solat & makan tengahari. (Bandar Asfan ada disebut dalam sirah nabi semasa Rasullallah, sahabat dan penduduk Madinah (ansor dan muhajirin) ingin melakukan ibadah haji pertama pada tahu 6 hijrah) tetapi tidak kesampaian hinggalah termeterinya Perjanjian Hudaibiyyah dimana Rasullullah hanya boleh mengerjakan haji pada tahun berikutnya. (Nak tahu cerita terperinci... dah tahu jawapan nya.. baca buku/ ikut kuliah sirah kan... betul!!!!)
Bagi sesiapa yang dah biasa mengembara & faham serta tak berapa memilih (redha) tentang kekurangan2 tanpa mengabaikan soal istinjak, wuduk dan solat, insyaAllah kekurangan kemudahan di R&R tersebut tak begitu berat baginya. Yang penting, bawalah bekal air, pantiliner (untuk wanita) dan plastik. Dan jangan lembab serta merungut-rungut. Banyakkan bergantung pada Allah.
(Ini musim umrah, kalau musim haji lagilah besar dugaannya kerana ramai orang, boleh berebut2 dan bergaduh kalau tak sabar).
Akhirnya tibalah di Mekah kira-kira jam 3 petang. Penginapan di Hotel Muhajireen dekat Masjid Kucing (lebih kurang 400m dari Masjidil haram). Masing-masing kepenatan. Makan sudah, solat zohor & asar (jamak takdim) pun sudah, rasa-rasa kalau tidur dulu memang best.
Sebelum tu Ustaz S memberi taklimat ringkas dengan mencadangkan tawaf umrah dibuat selepas isyak dan makan malam (kira2 jam 9), tapi sesiapa yang nak buat sendiri-sendiri, silakan.
Dato Mufti memilih untuk buat sendiri, Hj M juga akan buat sendiri lagipun nak bawa isterinya ke klinik (sakit gigi), manakala yang lain-lainnya akan bersama-sama ustaz S (sebab kepenatan).
Kira-kira sejam tidur nampaknya masing-masing dah segar semula, lebihkurang jam 5 petang Suami memberitahu untuk keluar meninjau-ninjau, sebab kami masih tiada idea tentang kedudukan Masjidil Haram dari tempat penginapan kami, kerana menaranya tak kelihatan dari hotel. 9 tahun dulu kami tak tinggal di kawasan ini.
Setelah suami keluar, Kak Yah pula ketuk bilik dan memberitahu kalau tunggu jam 9 malam baru nak tawaf, di mana pula nak solat maghrib dan isyaknya? Takkan dalam bilik? Rugilah. Tadi masa setuju dengan cadangan ustaz S, masing-masing kepenatan jadi ikut saja cadangannya.
Saya bersetuju dengan pendapat kak Yah (nampaknya kami ni macam nak lawan tokeh lagi), tapi perlu tunggu keputusan suami. Akhirnya Kak Yah pergi dahulu dengan teman sebiliknya Nik M. (Kak S ni dah banyak kali pergi umrah, jadi beliau agak mahir lah tentang jalan nak ke Masjidil Haram)
Kemudian kami bertemu ustaz S di lobi, dan setelah berbincang dengannya kami berenam bertolak ke Masjidil Haram untuk solat maghrib, selepas solat terus tawaf, habis tawaf waktu isyak pun masuk, maka dalam bersesak-sesak tu dapatlah kami solat menghadap kaabah betul-betul depan kami. Selepas isyak sambung saie dan tahallul (Selesai umrah pertama)
Berbeza dengan keadaan tahun 2000, banyak perubahan dan pembinaan baru yang telah dan sedang dibuat seperti tempat saie yang lebih besar dan sudah tidak ada lagi perigi zam-zam untuk dilawati.
Kira2 jam 10.15 malam kami balik ke hotel & makan. Partner kak Yah (Nik M) berkata beliau terpisah dengan kak Yah dan risau beliau (kak Yah) belum pulang-pulang lagi. Beliau bimbang kak Yah sesat. Ustaz S memulangkan paku buah keras dengan mengatakan :”tadi nak pergi sendiri-sendiri, saya tak larang”. Kami yang lain-lain diam saja.
(Selepas tu baru saya faham, mereka terpisah masa saie, tapi disebabkan tak buat janji di mana akan bertemu bila selesai, maka Nik M pun balik ke hotel, sedangkan kak Yah berhasrat untuk tinggal lebih lama di Masjidil Haram)
Pengajarannya ialah: Buatlah perjanjian betul2 kalau ditakdirkan berpisah, dan untuk lebih mudah, bawa h/phone supaya senang berhubung. Tapi pastikan dlm mode ’silent’.
(Saya & Suami buat begitu. Jadi tak le kecoh tercari2 hingga menjadi fitnah & kerisauan orang lain. Dan kami pastikan masa tawaf, saie & tahallul, kami takkan berpisah. Waktu berpisah ialah ketika nak masuk masjid kerana ruang untuk lelaki & perempuan berasingan).
15/4/2009 (Rabu):
Acara bebas. Selepas solat subuh dan sarapan, saya dan suami bercadang untuk buat umrah lagi diniatkan untuk keluarga terdekat yang sudah meninggal. Untuk ke Tanaiem kami menyewa teksi sapu pergi balik 30 Riyal. (Teksi tak sapu kabarnya 50 Riyal). Saya sedar ianya teksi sapu pada keesokan hari. (Tak terfikir pun! – ok ke?)
Bertolak ke Tanaiem kira-kira 7.30 pagi, kembali dari Tanaiem terus tawaf, saie & tahallul sebelum zohor.
Selepas tawaf sempat ambil gambar di Multazam, (bukan kami aje - keadaan berubah, la ni zaman it ). Hari ini selepas tawaf alhamdulillah kami dapat solat sunat di Hijir Ismail dibawah pancur emas. Selesai saie dan tahlul jam 11.30 pagi (umrah kedua)
Satu perkara yang menjadi pemandangan biasa ialah terdapat penjual-penjual jalanan (tak berlesen agaknya kerana selalu dikejar dan dihalau oleh pihak berkuasa).
Apabila selesai solat fardhu penjual-penjual jalanan ini akan membentangkan bungkusan jualannya seperti pakaian, tudung, kopiah, barang perhiasan, dan macam-macam lagi lah disepanjang perjalanan kembali ke hotel. Jangan sampai leka dengan pujukan penjaja jalanan ini, takut nanti masa datang bawa 1 beg bila kembali jadi 10 beg. Sebenarnya kebanyakan barang-barang yang dijual datang dari luar negara Arab Saudi (Minyak dhab dan batu akek mungkin asal dari Arab la). Kalau nak beli juga belilah yang difikirkan benar-benar perlu.
Satu lagi permandangan lazim yang dapat dilihat adalah peminta sedekah yang terdiri dari golongan kanak-kanak dan awal remaja berkulit hitam yang kebanyakannya cacat anggota seperti kudong tangan dan kaki (4 hingga 15 tahun) semasa kita pergi dan balik ke masjid berbaris disepanjang perjalanan. Suami saya kata dia pernah terserempak dengan budak-budak yang sama bersama lelaki dan perempuan dewasa (mungkin ibu bapa atau ada sindikit.. agak aja..) dipersekitaran Masjid tapi tangan dan/atau kakinya sempurna. Mungkin salah lihat kot... Tapi dia juga kata pernah terserempak di luar masjid ketika ingin kembali ke hotel selepas solat isyak, seorang lelaki arab marah-marah sambil memegang seorang kanak-kanak kulit hitam dan mencabut tangan yang dikatakan kudong. Rupa-rupa tangan yang kudong tu hanya tangan palsu (masyaallah.. macam-macam cara nak cari duit). Suami kata dia juga biasa bagi sedekah kepada mereka. Saya hanya dapat katakan, yang dah bagi tu tak payah ungkit-ungkit. Nanti sedekah yang diberi langsung tak dapat pahala. Tentang penipuan mereka itu urusan dia dengan Allah.
16/4/2009 (Khamis):
Tempat pertama diziarahi adalah Jabal Tsur dimana terletaknya Gua Tsur. (Kami hanya sampai kaki Jabal Tsur saja).
Gua Tsur adalah sebuah gua dengan ketinggian 450 m yang terletak sekitar 7 km dari Mekkah ke arah Thaif. Gua Tsur berada disalah satu puncak Jabal Tsur, sebuah bukit yang cukup tinggil. Struktur dan bentuk gunung ini menyulitkan pendakian untuk sampai ke Gua Tsur.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana gigihnya perjuangan Rasulullah SAW, untuk sampai ke gua ini semasa baginda bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar selama tiga hari yang sedang diburu oleh kaum musyrikin Mekah semasa peristiwa Hijrah. (seperti biasa nak tahu lebih lanjut cerita Hijrah Rasullullah kena tuntut ilmu)
Destinasi seterusnya adalah Bukit Kasih Sayang atau lebih dikenal dengan Jabal Rahmah sekitar 25 kilometer arah tenggara kota Mekkah. (Nama pun Bukit Kasih sayang, maka kami pun bergambarlah sama)
Jabal Rahmah berada di Arafah, dalam sejarahnya, di bukit tandus inilah Nabi Adam AS dan Siti Hawa dipertemukan oleh Allah SWT setelah 200 tahun mereka diturunkan secara terpisah. Rasa haru dan kasih sayang ini pula yang melatarbelakangi pemberian nama Jabal Rahmah (tiada Hadis atau ayat Al-Quran ... cuma berdasarkan cerita cerita sahaja).
Banyak yang mengatakan di tempat ini baik untuk berdoa memohon kepada Allah agar diberi limpahan kesehatan, keselamatan dan kebaikan bagi istri atau suami serta anak-anak. Ramai juga yang percaya, andainya hendak jodoh disegerakan, maka niat ler di sini
Dalam satu riwayat dikatakan bahwa Jabal Rahmah juga menjadi tempat wahyu yang terakhir diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Yaitu saat Rasulullah SAW melsayakan wukuf. Wahyu terakhir ini adalah Al Quran surat Al Maidah ayat tiga.
Apabila kami turun dari bas mula-mula yang menyambut kami adalah unta berhias dengan pelana & tuannya. Sesiapa yang nak naik unta bolehlah cuba. Bayarannya 10 Riyals. Nak bergambar dengan unta berhias pun boleh harganya 5 Riyals. Saya tak berhajat nak naik atau bergambar dengan unta kerana masa mengerjakan haji dahulu dah gambar dengan unta. (Kat mana ye gambarnya.. balik nanti saya cari le).
Dari Jabal Rahmah kami ke Masjid Namira, satu-satunya masjid yang terdapat di Arafah dimana ianya hanya digunakan hanya sekali dalam setahun dimusim Haji. Di masa-masa lain masjid ini seolah-olah masjid yang ditinggalkan dan tidak terurus.
Berikutnya kami meneruskan perjalanan ke Jaaranah untuk miqat umrah (saya tak buat umrah hari ni.. uzur). Didalam perjalanan bas yang dinaiki melalui kawasan Arafah, Mudzalifah, Mina dan Jamrah (tempat-tempat yang berkait rapat dengan Ibadah Haji). Ianya memang telah banyak berubah berbanding tahun 2000. Kami lihat dari dalam bas, Jamrah (tempat melontar semasa haji) masih dalam pembesaran. Dari jauh kami nampak tempat melontar dibina setinggi 5 tingkat. (Tak tau le musim haji tahun ini kira-kira 7/8 bulan lagi ianya boleh siap).
Dari Jaaranah kami terus menaiki bas untuk ke Jabal Nur dengan ketinggian 281 meter kira-kira 5 km dari Masjidil Haram dimana terletaknya gua Hira (tempat wahyu pertama diturunkan kepada Rasullullah pada malam 17 Ramadhan disampaikan oleh Malaikat Jibril dan pada masa sama diangkat sebagai rasul pada usia 40 tahun( tahukan... Iqra – bacalah).
Selesai melawat Jabal Nur (tak naik bukit pun, hanya lihat dari tepi jalan berhampiran aja) bergegas kembali hotel. Tiba di hotel betul-betul masuk waktu zohor. . Saya jangka pun memang sempat kerana selepas azan biasanya 15-20 minit baru solat. Sebahagian jemaah rombongan ada yang solat di Masjid Kuching (yang dekat dengan hotel) kerana keletihan selepas perjalanan ziarah yang memenatkan.
17/4/2009 (Jumaat):
Hari ini adalah hari bebas tiada program khusus. Ust S mencadangkan ziarah persekitaran berdekatan Masjidil Haram. Tetapi kebanyakan jemaah tidak bersedia untuk itu.
Sepanjang didalam Masjidil Haram banyak perkara-perkara yang berlaku dan gelagat-gelagat manusia yang datang dari seantero dunia dimana dalam pemerhatian ku baik untuk dikongsi bersama untuk yang mana baik dijadikan tauladan dan yang sebaliknya dijadikan sempadan. Semua ini akan saya nukilkan dalam bab-bab selanjutnya.
Lebih kurang 7.40 pagi ke Tanaiem untuk umrah .Kali ini pergi dengan ahli rombongan yang seramai 15 orang menaiki van yang diuruskan oleh Pembimbing rombongan kami. Menurut beliau biasanya bayaran yang dikenakan untuk ke Tanaiem dengan van adalah 5 riyals seorang pergi dan balik. Kira2 jam 10.50 selesai umrah Selepas itu saya tak balik hotel, sebab agak jauh. Lagipun nak dekat zohor. Untuk alas perut saya memang telah bersedia dengan membawa roti cheese (hai tak terbelekek ke makan roti tanpa air...jangan khuatir air zam-zam yang terbukti khasiatnya sentiasa ada berbaris didalam tong-tong khas yang disediakan dalam Masjidil Haram... minum le berapa banyak yang dikehendaki.. tak siapa marah pun)
Saya duduk luar masjid nak makan bekal, sebelum tu beri sikit roti kat seorang budak India di situ, kemudian saya panggil seorang makcik dari Syria agaknya untuk kongsi. Semena2 datang jemaah lain beri kami satu bungkusan makanan mengandungi roti, timun, pisang, & nasi bungkus. Saya cuma makan pisang dan timun separuh, yang lain2 beri kat makcik Syria tu.
Petang tu jumpa Kak Ani (member se kelas di Seremban) yg baru tiba dari Madinah bersama2 rombongannya . Sama syarikat dan menginap di hotel yang sama.
19/4/2009 (Ahad):
Lawatan ke Hudaibiyah bersama2 group rombongan Kak Ani. Setiba di ladang unta pengembala unta menjual susu unta yang ’fresh’ dengan harga 5 riyal satu botol 300 ml. Sempat bergambar dengan unta, Tapi unta2 tu macam tak suka aja! Menyampah agaknya, pelawat2 datang nak bergambar! Tak de keje lain.
Selepas melawat ladang unta kami ke Masjid Hudaibiyyah untuk miqat umrah (solat sunat ihram dan niat umrah). Sebelum kembali ke Masjidil Haram kami dibawa melawat Muzium Mekah yang tersimpan sejarah Mekah. Kenderaan kami membawa kami terus ke Masjidil Haram melalui jalan terowong tepat pada waktu solat zohor.
20/4/2009 (Isnin) :
Kira-kira jam 8 pagi saya dan suami buat tawaf wadak. Apabila keluar melalui pintu Bukit Marwah perasaan sayu mula terasa kerana akan meninggalkan Masjidil Haram (Dalam hati berdoa agar dapat datang kembali). Jam 9.00 pagi bertolak ke Jeddah, kira-kira jam 11.30 pagi tiba di tepi pantai dekat masjid terapung. Makan tehgahari, solat jamak zohor dan asar.
Bertolak ke Kaherah (Cairo) dari Jeddah kira-kira jam 6.30 ptg, tiba Kaherah kira2 jam 8 malam, dibawa ke hotel transit berehat kira-kira 8 jam, tiba hotel, sambil makan dan berlegar di lobi, terpandang tarian gelek di tempat hiburannya. MasyaAllah, astaghfirullah.
Masuk bilik masing-masing tapi saya tak tidur takut-takut tak terjaga sebab nak bertolak ke lapangan terbang Kaherah untuk pulang ke Malaysia kira-kira jam 2 pagi.
Solat subuh, zohor dan asar dalam kapal terbang.
Tiba KLIA kira-kira jam 9.30 malam waktu Malaysia 21/4/09 (cepat ½ jam dari jadual)
Maghrib dan Isyak di KLIA. Setelah berjumpa Yan (dan kawannya) & Wan (dgn Fuad), kami pulang ke Seremban. Tiba rumah jam 1 pagi.
Rumah..here we come! Alhamdulillah!
No comments:
Post a Comment