Di Mana Nak Di Mulakan

Dirancang, Laksana, Nilai & Penambahbaikan

19 October 2009

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Dari Abi Umamah r.a katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda “Bacalah olehmu akan Al-Quran, sesungguhnya dia datang pada Hari Kiamat kelak memberi syafaat kepada tuannya”. Hadis Riwayat Muslim.
Pada Hari Kiamat, Al-Quran akan menemui ahli-ahlinya di padang mahsyar. Ahli-ahli Al-Quran itu terdiri daripada para pembacanya mahupun yang menghafalnya serta mereka yang beramal dengan Al-Quran. Al-Baqarah dan Ali Imran akan menjadi pembela kepada ahli Al-Quran bagi berhadapan dengan Allah SWT
Dari Aisyah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w “Seorang yang membaca Al-Quran sedang dia mahir dalam membacanya, bersamanya malaikat utusan Allah yang baik. Dan orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (berkeadaan payah), maka baginya dua pahala” Iaitu satu pahala untuk bacaannya dan satu lagi untuk kesungguhan dia berusaha membaca Al-Quran.Hadith Riwayat Muslim.

Ada hadith yang lain menyebut pahala membaca Al-Quran adalah pada setiap huruf. Setiap huruf itu dijanjikan 10 ganjaran pahala.
Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran. Tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama di antara satu dengan yang lain.
Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah hadis dari Ibn Mas’ud r.a. dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Dari Ibn Mas’ud r.a. telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ” Barang siapa membaca satu huruf daripada kitabullah maka baginya satu kebajikan dan tiap-tiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif-Lam-Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

JAUHNYA UMAT ISLAM DARI AL-QURAN DAN AS_SUNNAH: APA KESANNYA?
Menyoroti sejarah umat Muhammad s.a.w, bangkitnya mereka begitu gagah. Digeruni seisi dunia dengan gelaran ustaziyatul alam pada era tamadun Abbasiyah. Benarlah, kehebatan umat Islam saat itu tidak dapat dipersoalkan.
Namun akhirnya, dari satu tamadun yang sangat hebat itu, Umat Islam akhirnya jatuh, jatuh dan jatuh…kejatuhan itu sehingga kini. Kita adalah umat yang hidup di era kejatuhannya, namun kita tidak pernah sedar semua itu. Kita leka bermain dengan permainan-permainan yang disajikan dunia, sehingga tidak sedar beribu wajah sedang ketawa gembira melihat umat Muhammad s.a.w yang terus menerus dalam kealpaan.
Mengapa ini berlaku? Al-Quran tidak menjadi ruh dalam hidup umat Islam, padahal seharusnya Al-Quran itu sentiasa ditadabburkan untuk kemudiannya diamalkan.

Pada Muktamar Missionaris ke V, Zummer mengatakan;
Kerja kita hari ini bukan mengkristiankan umat Islam, tetapi jauhkan mereka dari Al-Quran dan Sunnah. Jadikan mereka tidak bangga dengan Nabi Muhammad. Dan jauhkan mereka dari sejarah Islam, jadikan mereka malu mengakui keIslamannya, buatlah mereka jauh dari ulama-ulama mereka.
Cuba kita lihat tubuh umat Islam saat ini, adakah berhasil “wasiat” Zummer di kalangan generasi kita dan anak-anak Islam??
Akibat dominasi Barat yang sentiasa dilancarkan ke dalam tubuh umat Islam sehingga kita sebagai generasi Islam malu untuk “berbaju” sunnah Rasulullah s.a.w . Cara kita makan sampai cara berpakaian. Cara kita belajar Pedidikan Agama Islam di sekolah-sekolah. Cara orang-orang tua kita memandang ibadah hanya di masjid sahaja, sampai cara kita dan adik-adik kecil kita mengagungkan artis dalam kehidupan seharian.

Sungguh, penawar untuk umat Islam hanyalah pulang kepada Allah s.w.t dan mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w. Memahami isi Al-Quran dan mengikuti Sunnah tinggalan Rasulullah s.a.w. Dan penawar itu banyak terdapat di rak-rak buku di rumah kita, penuh debu jarang diselak. Apatah lagi untuk dibaca dan ditadabbur maksudnya. Perlu ingat, Al-Quran itu perlu dibaca dengan hati, memahami maksud setiap daripada ayat-ayatnya. Berbeza benar dengan amalan “orang kita” yang hanya menggapai Al-Quran di saat sedih semata-mata untuk mengalunkan bacaan dan merasai sedikit ketenangan dari alunan bacaan tanpa faham maksud ayat-ayat yang telah dibaca.
Fungsi Al-Quran tidak terhad kepada itu sahaja, tapi fungsinya jauh amat besar, Al-Quran itu manual hidup bagi Umat Islam!

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...