PENDEDAHAN pakar motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dalam akhbar Utusan Malaysia, 16 Jun 2004 lalu bahawa 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari, benar-benar menggemparkan.
Peratusan yang diperoleh hasil daripada kajian dan pemerhatian beliau itu, sekiranya benar, tentunya merupakan suatu tragedi yang amat mendukacitakan tatkala kita sedang bertungkus lumus untuk merealisasikan konsep Islam Hadhari.
Sejak kecil, semasa di bangku sekolah lagi, kita telah ditekankan tentang kewajipan solat kepada setiap umat Islam. Ungkapan `solat itu tiang agama' bukan sahaja sudah acap kali keluar dari bibir para guru di sekolah, malahan kerap dilaungkan oleh para ulama menerusi forum-forum dan ceramah mereka.
Betapa pentingnya ibadah solat ini dalam kehidupan seseorang Muslim dapat dilihat apabila Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis baginda, meminta ibu bapa mendidik anak-anak mereka agar menunaikan solat sejak berusia tujuh tahun dan apabila berusia sepuluh tahun, diizinkan merotan anak-anak tersebut sekiranya mereka masih ingkar untuk mengerjakannya.
Namun mengapakah masih ramai Muslim mukalaf yang tetap culas dalam mengerjakan ibadah solat pada hari ini? Kewajipan ibadah solat kepada setiap Muslim tidak kira lelaki atau perempuan sememangnya tidak perlu dipersoalkan lagi. Firman Allah s.w.t.: Sesungguhnya sembahyang itu diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman menurut waktu tertentu.
An-Nisa: 103).
Dalam ayat 43, surah al-Baqarah pula, Allah s.w.t. berfirman: Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.
Ibadah solat yang menduduki hierarki kedua dalam rukun Islam, Difardukan pada malam Israk Mikraj setahun sebelum hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah. Sabda Rasulullah s.a.w.: Telah difardukan oleh Allah ke atas umatku pada malam Israk, 50 waktu sembahyang. Maka berulangkali aku kembali ke hadrat Ilahi dan aku meminta keringanan sehingga dijadikan oleh Allah 50 waktu itu kepada lima waktu sahaja sehari semalam.
Kerana mengasihi umat baginda, Rasulullah s.a.w. sanggup berulang alik menghadap Allah s.w.t. bagi memohon dikurangkan bilangan solat sehingga menjadi lima waktu sehari semalam sahaja. Bagaimanapun, benarlah kata-kata Nabi Musa a.s. yang ditemui olah baginda sebaik menghadap Allah s.w.t., umat Islam tetap berasa berat untuk mengerjakannya.
Ibadah solat tidak sepatutnya dilihat sebagai satu perbuatan ritual semata-mata. Sebaliknya ia sarat dengan manifestasi falsafah hubungan seorang hamba dengan Penciptanya. Perlakuan rukuk dan sujud dalam solat menggambarkan betapa kerdilnya seseorang insan di sisi Khaliknya. Hal ini seterusnya akan menimbulkan rasa insaf di hati manusia lalu mengukuhkan lagi benteng iman dan takwa mereka.
Selain itu, solat juga menjadi salah satu cara kepada manusia untuk melahirkan rasa syukur. Dengan seribu satu nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. sepanjang hayatnya, terlalu sukarkah bagi seseorang Muslim untuk mengungkapkan rasa syukurnya melalui solat sehari semalam yang hanya lima waktu cuma?
Sebagai seorang Muslim juga, mereka seharusnya memanfaatkan ibadah solat sebagai saluran untuk berdoa. Sesuai dengan maksud solat pada lughah itu sendiri yang bererti `doa', ibadah ini memberi peluang kepada setiap hamba-Nya untuk berhubung secara langsung kepada Yang Maha Kuasa tanpa sebarang perantara. Unsur-unsur doa ini terkandung dalam bacaan al-Fatihah, bacaan ketika duduk antara dua sujud, Iftitah, Qunut dan sebagainya.
Malahan insan-insan yang mempunyai sebarang hajat dan permintaan boleh memohon kepada Allah s.w.t. menerusi solat-solat tertentu, misalnya solat hajat, solat istikharah, solat tahajud dan sebagainya. Insya-Allah, setiap doa hamba yang ikhlas pasti akan dimakbulkan-Nya.
Satu lagi hikmah ibadah solat yang jarang disentuh ialah hubungannya dengan kebersihan. Ibadah solat sebenarnya mampu mendidik seseorang Muslim agar sentiasa berada dalam suasana bersih zahir dan batin. Misalnya sebelum solat, kita perlu terlebih dahulu memastikan pakaian dan tempat untuk mendirikan solat benar-benar suci daripada sebarang najis atau kekotoran. Malah kita juga diwajibkan membersihkan diri melalui wuduk sebelum menunaikan solat.
Dari segi batin pula, ibadah solat dapat membersihkan jiwa kita daripadasifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad, sombong dan syirik. Sebaliknya jiwa orang yang mengerjakan solat dengan khusyuk dan tawaduk akan memperoleh ketenangan dan hatinya akan dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah seperti amanah, lemah lembut, sabar dan taat perintah.
Bukan itu sahaja, solat juga menjadi benteng kepada seseorang Muslim daripada melakukan kemungkaran. Ibadah solat yang dikerjakan dengan ikhlas, penuh khusyuk dan tawaduk akan mewujudkan sebuah perisai yang dapat mencegah kita daripada terjebak dalam kancah dosa dan maksiat.
Di samping itu, ibadah solat juga mampu membentuk umat Islam agar lebih berdisiplin, terutamanya dalam soal pengurusan masa. Umat Islam sepatutnya mampu membahagi-bahagikan masa mereka antara keperluan urusan duniawi dan ukhrawi. Mereka juga dituntut agar lebih peka bagi memastikan ibadah solat dapat disempurnakan dalam waktunya.
Dalam membicarakan soal ibadah solat ini juga, satu aspek penting yang perlu dititikberatkan ialah khusyuk. Khusyuk bererti ketetapan hati, tumpuan atau konsentrasi seseorang Muslim semasa melaksanakan ibadah solat.
Elemen khusyuk ini amat penting dan menjadi roh atau jiwa dalam sesebuahsolat yang didirikan. Tanpa khusyuk, solat yang dikerjakan adalah sia-sia, umpama tubuh badan yang tidak bernyawa.Selain itu, ibadah solat juga menjadi lambang kesatuan umat Islam. Solat yang ditunaikan secara berjemaah khususnya, menggambarkan perpaduan di kalangan umat tanpa mengira darjat dan warna kulit. Tambahan lagi, solat juga memaparkan penyatuan kaum Muslimin melalui arah kiblat yang satu dan rukun-rukun solat yang sama.
Tegasnya, kefarduan ibadah solat oleh Allah s.w.t. ke atas setiap hamba-Nya yang mukalaf bukanlah sesuatu yang sia-sia tanpa sebarang faedah. Ibadah solat sebenarnya mengandungi pelbagai hikmah yang tersirat buat hamba-hamba-Nya. Justeru janganlah kita begitu mudah mengabaikannya.
Akhir kalam, renungkanlah perbandingan ini: Jika Islam itu diumpamakan seperti sebuah rumah; syahadah itu tapaknya, solat menjadi tiangnya dan puasa, zakat serta haji membentuk dinding, pintu dan tingkapnya. Tanpa tiang apalah gunanya dinding, pintu dan tingkap. Tanpa tiang juga, tapak yang tinggal hanya sia-sia.
No comments:
Post a Comment